3 tahun dalam neraka
KUALA LUMPUR: Amah wanita itu diperlakukan bagai hamba abdi sejak hampir tiga tahun apabila didera hampir setiap hari, sebelum dia nekad melarikan diri dari rumah majikannya di sebuah kondominium di Mount Kiara di sini, awal pagi semalam.
Malah, majikan terbabit didakwa tidak pernah membayar gaji walau satu sen pun sejak wanita warga Indonesia itu diambil bekerja di rumahnya, selain hanya diberikan nasi kosong tanpa lauk sebagai makanan harian.
Lebih memualkan, jika mangsa teringin sangat menjamah lauk, dia hanya dibenarkan mengambil daging babi oleh majikan tidak berhati perut itu, walaupun mengetahui pembantu rumah berkenaan beragama Islam.
Itulah antara penderitaan terpaksa ditanggung Siti Hajar, 33, yang cedera teruk hampir di seluruh anggota badan akibat disimbah air panas sebelum wanita berkenaan meloloskan diri.
Difahamkan, wanita malang terbabit yang tidak dapat menanggung azab melarikan diri dari rumah majikannya kira-kira jam 1 pagi dan bersembunyi di tepi jalan sebelum menahan sebuah teksi untuk ke Kedutaan Indonesia, di sini.
Wanita malang itu yang langsung tidak mempunyai wang bagaimanapun mendapat simpati pemandu teksi yang tidak sampai hati melihat keadaan mangsa lalu menghantarnya ke kedutaan tanpa mengenakan tambang.
Malah, mangsa turut diberikan wang saku RM10 oleh pemandu teksi terbabit yang bersimpati selepas melihat keadaannya yang sangat lemah ketika itu.
Mengulas mengenai kejadian itu, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da’i Bachtiar, berkata wanita malang terbabit tiba di perkarangan Kedutaan Indonesia kira-kira jam 8.30 pagi dan menceritakan segala penderitaan yang ditanggungnya selama ini.
“Sejurus melihat keadaan mangsa yang cedera teruk itu, pihak kedutaan kemudian membawanya ke hospital sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di pejabatnya, petang semalam.
Menurutnya, pembantu rumah berkenaan yang berasal daripada Jawa Barat, tiba di negara ini pada 2006 dan dihantar bekerja di rumah dua majikan berlainan.
“Wanita terbabit bekerja dengan majikannya yang pertama pada 2 Julai 2006 selama empat hari dan kemudian diambil bekerja sebagai pembantu di rumah majikannya sekarang,” katanya.
Menurutnya, sejak hari itu bermulalah penderitaan yang terpaksa ditanggung wanita malang terbabit apabila dia kerap dimarahi dan dipukul hanya kerana melakukan kesalahan kecil.
“Mangsa langsung tidak dibayar gaji sejak 34 bulan lalu dan dia turut dipukul dengan objek keras jika membuat kesalahan.
“Dia yang tidak tahan lagi menanggung penderitaan akibat didera hampir setiap hari itu nekad melarikan diri semalam (kelmarin) selepas disimbah air panas oleh majikannya,” katanya.
Da’i berkata, pihak kedutaan memanggil wanita yang menjadi majikan itu untuk mengadakan perbincangan bagi menuntut tunggakan gaji pembantu rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM17,000.
“Majikan itu datang ke kedutaan kira-kira jam 11 pagi tadi (semalam) dan hasil perbincangan dia mengakui mendera mangsa dan meminta maaf.
“Hampir lapan jam perbincangan dilakukan dan wanita itu kemudian ditahan polis sejurus dia keluar dari pejabat kedutaan,” katanya.
Sumber Mymetro
1 comments:
Seharusnya kita miris melihat saudara-saudara kita diperlakukan tidak manusiawi seperti itu..Pekerjaan Rumah untuk Pemerintah mencari solusi bagi para TKI kita di luar negeri..juga perlindungan dan bantuan hukum harus diberikan dengan sebaik2nya kepada mereka...
Post a Comment